
Wang tidak mempunyai nilai benar tetapi digunakan sebagai pengukur nilai yang menjadi alternatif mudah kepada sistem barter. Tanpa wang, sistem ekonomi menjadi tidak cekap kerana sistem barter memerlukan keperluan serentak antara mereka yang mahu menukar barang, dan persetujuan bahawa pertukaran barangan ini mestilah sama nilai sebelum pertukaran barter berlaku. Dengan wang, seseorang hanya perlu membayar wang kepada penjual untuk mendapatkan barang berkenaan. Penjual pula boleh menggunakan wang tersebut untuk mendapatkan barang yang diperlukannya.
Penggunaan wang dalam masyarakat menggalakkan perdagangan yang meningkatkan pembahagian kerja, yang menaikkan produktiviti dan kekayaan secara menyeluruh.